Bila sebut kisah tentang seseorang muslim yang MURTAD (keluar dari Islam dan menuju kekafiran), ramai dikalangan umat Islam yang menggelengkan kepala dan berasa kecewa ke atas apa yang telah berlaku. Tetapi ada juga sebahagian dikalangan umat Islam yang menganggap isu murtad ini adalah suatu perkara yang biasa dewasa ini. Namun, adakah dengan perasaan sedih itu dapat menyelamatkan saudara Islam kita daripada terjerumus ke daerah yang pasti akan menemukan kehancuran untuk selama-lamanya.
Kini, di Malaysia khususnya, gejala murtad telah pun berleluasa dan menjadi suatu perkara yang biasa dikalangan umat Islam yang lemah pegangan agamanya atau dalam erti kata lain "Islam hanya didalam kad pengenalan". Bagi umat Islam yang peka dan berpegang teguh kepada agamanya, isu ini adalah suatu perkara yang amat sensitif dan pelakunya boleh dikategorikan sebagai hina dan terkutuk disisi Allah swt. Islam telah menetapkan hukuman bunuh bagi seorang muslim yang murtad. Tetapi hukuman tersebut tidak akan dijatuhkan secara langsung kerana Islam adalah agama yang bercirikan ihsan, penyayang dan menjaga kemaslahatan setiap umatnya. Dengan itu, seseorang yang murtad itu diberikan peluang dan nasihat sebanyak tiga kali untuk berfikir kemudian bertaubat dan kembali ke pangkal jalan. Jika seseorang murtad itu enggan dan berdegil, maka Islam meletakkan hukuman bunuh ke atasnya.
Ini adalah prinsip yang telah ditetapkan oleh Allah swt didalam agama Islam. Tujuannya ialah untuk menyatakan bahawa agama Islam adalah sebuah agama yang suci dan agong. Maka tidak layak baginya untuk seseorang itu keluar dan meninggalkannya dengan sesuka hati sepertimana keluarnya kita dari sebuah negara ke sebuah negara yang lain.
Jika kita renungkan, mengapa perkara murtad ini boleh terjadi dan apakah faktor dan penyebab perkara ini berlaku. Pertama, seseorang muslim itu murtad kerana inginkan kebebasan dalam kehidupannya dan menganggap agama Islam adalah agama yang tidak bebas. Mereka beranggapan bahawa agama Islam telah menyekat setiap keinginan hawa nafsu mereka. Tetapi, dalam masa yang sama mereka telah tertipu dengan hawa nafsu mereka sendiri yang tak terbatas. Pada hakikatnya Islam tidak pernah menyekat keinginan nafsu yang memang telah diciptakan Allah swt pada setiap diri manusia, tetapi agama Islam telah menetapkan saluran yang sewajarnya pada setiap keinginan manusia dan ada batasannya. Contohnya, ikatan perkahwinan yang sah adalah saluran yang dianjurkan oleh agama Islam kepada umatnya untuk menunaikan kehendak nafsu antara lelaki dan wanita. Dari sudut hiburan pula, setiap jiwa manusia memang inginkan hiburan dan Islam tidak menghalang. Akan tetapi setiap perkara ada batasnya, kerana tanpa batasan ianya boleh mengundang kepada kehancuran.
Setiap perkara yang dilarang dan diharamkan oleh Islam ada sebab-sebabnya. Jadi sudah pastilah setiap perkara yang dilarang itu terdapat kesan buruk padanya, kerana dari sudut logika Allah swt sebagai Arkitek pada alam dan manusia sesungguhnya Dia maha mengetahui tentang apa yang baik dan buruk untuk manusia. Kemudian diutusNya Rasulullah saw ke atas muka bumi sebagai Jurutera untuk membina dan membetulkan akhlak dan kelakuan setiap manusia sepertimana yang telah dilakarkan oleh Allah swt didalam plan yang dikenali sebagai Al-Quran.
Kedua, antara sebab seseorang muslim itu murtad adalah disebabkan keinginan mengejar kemewahan hidup yang ditawarkan oleh golongan kafir khususnya kristian. Golongan ini bermodalkan harta dan wang ringgit untuk menarik perhatian orang-orang muslim supaya keluar daripada agama Islam dan bertukar kepada agama mereka. Jadi, seorang yang lemah pegangan agamanya akan mudah terpedaya dan akan menuruti kehendak golongan kafir tersebut. Disebabkan itulah Islam meletakkan hukuman yang sangat berat pada sesiapa yang murtad supaya setiap umat Islam boleh berfikir dan tidak mudah terpedaya. Kerana agama Islam adalah agama yang berlandaskan kepercayaan kepada Allah swt dan bukannya agama yang berlandaskan harta dan wang ringgit. Oleh itu Islam menganjurkan umatnya supaya mempunyai sifat Qana'ah iaitu sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada walaupun sedikit, kerana dengan adanya sifat tersebut akan mengekang nafsu manusia daripada keinginan yang berlebihan walaupun sanggup menggadaikan agama suci mereka sendiri. Dari sudut yang lain, Islam mengharuskan umatnya mencari kemewahan hidup tetapi mestilah dengan cara yang halal bukannya mempertaruhkan agama sebagai jalan untuk mengecapi kemewahan tersebut. Maka setiap individu muslim perlulah menjalankan peranan masing-masing supaya seluruh umat Islam dapat hidup tanpa bantuan golongan kafir yang menipu daya.
Ketiga, CINTA juga adalah punca seseorang itu murtad. Kerana cinta seorang yang beragama Islam sanggup meninggalkan dan menggadaikan agamanya yang suci. Islam tidak pernah menghalang cinta kerana cinta adalah sifat yang Allah swt telah kurniakan kepada hambaNya. Tetapi cinta itu ada jalan yang ditunjukkan oleh Islam. Cinta manusia kepada manusia pasti akan berakhir tetapi cinta kepada Allah swt akan kekal selama-lamanya. Oleh itu, janganlah kerana cintakan seorang manusia, seorang muslim itu sanggup meninggalkan agamanya kerana sesungguhnya cinta itu akan binasa. Tetapi apabila cintakan seseorang kerana Allah swt sudah pasti ianya akan dapat menyelamatkan diri dan agamanya. Justeru itu, apabila seorang muslim cintakan seorang yang bukan muslim jalan terbaik ialah ceritakan kepada orang yang bukan muslim itu keindahan Islam dan sekaligus mengajaknya untuk memeluk Islam supaya dapat diakhiri dengan ikatan perkahwinan. Jika tidak, agama adalah suatu yang perlu didahulukan kerana Islam adalah yang tertinggi dan paling mulia.
Keempat, antara punca seorang muslim itu murtad adalah kurang dan lemahnya bimbingan agama daripada ibu bapa dan keluarga. Apabila lemah pegangan agama maka cukup mudah bagi seorang muslim itu meninggalkan agamanya. Ibu bapa haruslah memainkan peranan sebagai contoh tauladan juga pendidik dengan membekalkan ajaran agama yang secukupnya kepada anak-anak mereka. Kerana jika ibu bapa serta keluarga memberikan ajaran agama yang sempurna perkara ini dapat dielakkan.
Umat Islam di Malaysia khususnya pada hari ini sibuk dalam mengejar arus kemodenan yang kadang kala hampir terlupa akan tanggungjawab yang patut dilaksanakan sebagai seorang muslim. Dan disebabkan kelalaian tersebut, ramai dikalangan umat Islam di Malaysia yang rosak akhlak hinggakan sejak kebelakangan ini sanggup murtad dan keluar dari agama demi mencapai kehendak nafsu semata. Tetapi tanpa kita sedari, masyarakat di barat yang sudah sekian lama mengecapi kemajuan, mereka tercari-cari nilai dan tujuan sebenar kehidupan. Maka tidak hairanlah sejak akhir-akhir ini masyarakat di negara-negara barat seperti Perancis, Russia, Sepanyol dan sebagainya ramai yang memeluk agama Islam. Disebabkan mereka sudah puas bergelumang dalam arus kemajuan yang tidak ada penghujungnya, mereka terus mengkaji dan mencari matlamat sebenar kehidupan kerana mereka merasakan yang jiwa mereka kosong. Akhirnya ramai masyarakat di barat yang menemui Islam adalah agama yang terkandung padanya hakikat sebenar kehidupan.
No comments:
Post a Comment