Showing posts with label Kefahaman yg Perlu Diperbetulkan. Show all posts
Showing posts with label Kefahaman yg Perlu Diperbetulkan. Show all posts

Wednesday, November 11, 2009

'Krisis' agama rugikan umat

MELIHAT kepada apa yang berlaku antara Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan bekas Mufti Negeri Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, boleh disimpulkan sebagai isu yang amat membimbangkan.

Sebabnya, polemik ini menambah sengsara umat Islam atau pun orang Melayu. Episod Melayu berpecah akibat perbezaan fahaman politik belum pun selesai, kini kita berhadapan dengan 'krisis' dalam bab agama.

Entahlah, apa lagi yang boleh menjadi 'payung' kepada umat Islam, kalau dalam bab agama yang suci ini pun kita bercelaru.

Dalam hal ini, yang pastinya gawat dan keliru adalah orang awam. Demikian juga golongan yang sedang 'mencari' agama melalui pengajian bukan secara formal di masjid, surau dan sebagainya.

Apa pun isunya, kegawatan ini perlu segera diselesaikan agar umat Islam tidak keliru sehingga membawa kepada perpecahan dan menjadikan umat Islam makin lemah.

Ingatlah firman Allah SWT: "Taatlah kamu kepada Allah dan Rasulnya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati, sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar." (al-Anfaal: 46).

Pada masa yang sama, kita harus berlaku adil kepada JAIS dalam penguatkuasaan tauliah kepada penceramah agama di Selangor.

Yang pasti, tauliah itu berniat baik. Ia bagi memastikan penceramah berlandaskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) dan bersandarkan kepada mazhab Imam Syafie.

Ini bertepatan dengan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mac 1996, Sidang Majlis Keselamatan Negara pada 17 Oktober 1996 dan mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan Hal Ehwal Islam Malaysia Ke 27 pada 24 Jun 1997. Kesemua itu memutuskan bahawa hanya akidah ASWJ menjadi pegangan umat Islam di Malaysia. Mana-mana ajaran yang bercanggah dengan fahaman dan amalan ASWJ dilarang dan disekat penyebarannya.

ASWJ berpegang kepada empat sumber utama hukum dalam Islam iaitu al-Quran, sunnah, ijmak ulama dan qias. Pegangan tauhid di atas jalan Imam Abu Hassan al-Asyaari atau disebut fahaman al-Asya'irah.

Walaupun mazhab utama yang diamalkan adalah mengikut Imam Syafie tetapi penggunaan mazhab lain seperti Imam Hambali, Hanafi dan Maliki turut dibenarkan dalam keadaan tertentu.

Ini terkandung dalam Perkara 54 qaul muktamad yang diikuti dalam mengeluarkan fatwa dalam Undang-undang Negeri Selangor, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 2003.

Dalam mengeluarkan apa-apa fatwa di bawah Seksyen 48 atau memperakukan apa-apa pendapat di bawah Seksyen 53, Jawatankuasa Fatwa hendaklah pada lazimnya mengikut qaul muktamad Mazhab Shafie.

Bagaimanapun, jika berpendapat dengan mengikut qaul muktamad Mazhab Syafie suatu keadaan yang berlawanan dengan kepentingan awam akan terhasil, Jawatankuasa Fatwa boleh mengikut qaul muktamad Mazhab Hanafi, Maliki atau Hanbali.

Perkara berkaitan tauliah ini pula adalah di bawah perkenan Duli Yang Mulia Sultan sebagai Ketua Agama atau ulil amri negeri masing-masing. Dengan kata lain, mematuhi arahan tersebut juga bermakna kita mematuhi arahan pemerintah.

Dalam aspek yang lain, kita juga tidak mahu tradisi menuntut ilmu agama secara informal ini terbantut akibat 'krisis' yang berlaku ini.

Semenangnya, pengajian agama di Malaysia terutama di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur kini semakin mendapat perhatian umat Islam.

Kuliah-kuliah sama ada pada waktu zuhur, maghrib, duha dan subuh Ahad sentiasa dipenuhi oleh para jemaah yang dahagakan ilmu.

Di sinilah pentingnya penceramah yang bertauliah supaya ilmu yang disampaikan itu bertepatan dan tidak bercanggah dengan ASWJ dan mazhab Syafie yang dominan di negara kita.

Kebimbangan paling besar adalah jika berlaku penyelewengan akidah terutama di kalangan mereka yang bergelar 'ustaz dan ustazah'. Sebabnya, penyelewengan oleh golongan 'agama' lebih buruk kesannya terhadap akidah dan amalan masyarakat berbanding kerosakan yang berlaku jika ia disampaikan oleh golongan bukan agamawan.

Pada masa yang sama, sebahagian besar jemaah yang mengikuti kuliah di masjid dan surau adalah orang awam. Justeru adalah penting memastikan kuliah tersebut mematuhi ASWJ terutama dalam membicarakan hal berkaitan ilmu tauhid.

Sehubungan itu, ada baiknya diadakan muzakarah atau seminar bagi menjelaskan kepada masyarakat awam di negara kita apakah itu fahaman ASWJ dan bentuk fahaman lain yang perlu ditolak.

Jangan dibiarkan masyarakat awam terus tertanya-tanya dan keliru apakah ajaran Islam sebenarnya yang perlu mereka ikuti.

Negara mempunyai ramai ulama dan cendekiawan Islam yang mampu merungkaikan permasalahan ini supaya isu ini tidak lagi menjadi barah dalam masyarakat.

Kita tidak mahu hanya gah pada bilangan atau kuantiti umat Islam sahaja tetapi tidak ada kualiti. Lihatlah apa yang berlaku kepada umat Islam di Palestin yang diganyang oleh zionis tetapi kita hanya mampu 'memandang'.

Jumlah umat Islam yang berbilion di seluruh dunia tidak cukup menggerunkan musuh-musuh Islam. Inilah yang digambarkan melalui hadis Nabi SAW: "Hampir tiba masanya kamu akan diserbu oleh bangsa-bangsa lain, sebagaimana orang-orang lapar mengadap hidangan di dalam jamuan". Sahabat bertanya, "apakah semua itu berlaku disebabkan oleh jumlah kami yang sedikit?"

Rasulullah SAW menjawab: "Bahkan ketika itu jumlah kamu amat ramai, tetapi ramainya kamu tidak lebih dari seumpama buih di permukaan banjir. Allah akan mencabut dari hati musuh-musuh kamu rasa gerun mereka terhadap dirimu, dan dimasukkan ke hatimu penyakit al-wahan". Seorang sahabat bertanya, "Ya Rasulullah, apakah al-wahan itu?" Jawab Rasulullah SAW: "Al-wahan ialah cinta dunia dan takut menghadapi maut." (riwayat Abu Daud daripada Sauban).

sumber: utusan malaysia

Berhikmah serta bijaksana.

Allahummaftah alaik...
Suatu penerangan yang jelas dan padat daripada Mufti Perak Dato' Seri Harussani mengenai isu perbalahan antara sesama umat Islam dalam masalah bid'ah, kafir-mengkafir, hina-menghina dan sebagainya yang tidak sepatutnya berlaku dikalangan umat Islam.
Semoga apa yang dijelaskan oleh beliau dapat meleraikan kekusutan serta dapat mengubah kefahaman yang salah dikalangan umat Islam.




Monday, December 1, 2008

Tahlil Bukan Bidaah

MAJORITI ulama dunia menerima tahlil sebagai amalan yang membolehkan pahala ibadat ini disedekahkan kepada orang yang telah meninggal dunia.

Meskipun terdapat pandangan berbeza mendakwa tahlil sebagai bidaah (amalan ibadat sekarang yang tidak ada secara khusus dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW), ulama terkemuka menerima konsep tahlil.

Pensyarah Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr Luqman Abdullah, berkata tahlil atau sebarang perkataan yang merujuk kepada kalimah 'tiada Tuhan melainkan Allah' dilakukan di kebanyakan dunia Islam.

Katanya, tahlil berjemaah sudah sebati dalam masyarakat Islam negara ini, terutama apabila berlaku kematian, malah kini menjadi program rasmi peringkat negara untuk menyambut perayaan tertentu.

“Sebenarnya ulama dunia seperti Mufti Besar Mesir, Sheikh Ali Gomaa, mengakui bahawa memang ada konsep tahlil dalam Islam. Bukan beliau saja, kebanyakan ulama lain mempunyai pandangan sama,” katanya.

Beliau berkata, tahlil juga adalah aktiviti sosial bermanfaat kerana umat Islam berkumpul dan berzikir untuk mengingati Allah.

“Saya tidak nampak ada masalah dari segi hukum syarak. Mungkin perbezaan dari segi tempat seperti bertahlil di Malaysia dan Indonesia tidak sama dari segi cara. Perbezaan ini lebih kepada faktor budaya, tetapi prinsip amalan tetap sama,” katanya.

Dr Luqman berkata, prinsip tahlil ialah pahala ibadat ini disedekahkan kepada si mati dan ini juga adalah pandangan majoriti ulama.

Katanya, ulama terkenal Arab Saudi, Sheikh Sayyid Muhammad Alawi, menyatakan bahawa orang yang meninggal dunia boleh mendapat manfaat daripada amalan soleh orang yang masih hidup, tetapi bentuk manfaat itu tidak diketahui.

“Terserah kepada Allah. Mungkin manfaat dalam bentuk pahala dan atau dosa diringankan. Prinsipnya adalah sampai kepada si mati,” katanya.

Beliau tidak menafikan ada yang menganggap tahlil sebagai bidaah, tetapi jika dilihat dari sudut ini, ini bermakna banyak perkara yang dilakukan umat Islam sekarang adalah bidaah.

“Kita tidak boleh menghukum setiap perkara yang Nabi Muhammad SAW tidak buat sebagai bidaah dan sesat,” katanya.

Mengenai amalan mengadakan majlis tahlil pada hari Khamis malam Jumaat, katanya selain berasaskan kelebihan malam Jumaat, ia mempunyai kaitan dengan pada zaman dulu, Jumaat adalah hari cuti menyebabkan masyarakat memilih hari itu.

Sepanjang Ramadan pula, katanya majlis tahlil semakin kerap diadakan kerana kelebihan beribadat sepanjang bulan ini mendapat pahala berlipat kali ganda.

Tahlil arwah:

Pertama: Amalan tahlil merupakan amalan yang baik dan berpahala kerana ia dipenuhi dengan zikir dan bacaan ayat-ayat al-Quran. Setiap huruf dan ayat al-Quran yang dibaca akan diberikan pahala oleh Allah sebagaimana sabda Baginda bermaksud: Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia akan mendapat satu kebaikan dan satu kebaikan digandakan sepuluh, aku tidak katakan bahawa ‘alif lam mim’ satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf. (Riwayat Tirmizi)

Selain itu, Rasulullah bersabda bermaksud: Barang siapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah maka dituliskan baginya satu kebajikan yang berlipat ganda, dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari kiamat. (Riwayat Ahmad)

Jadi pahala daripada amalan dan doa dalam tahlil akan sampai kepada si mati dan dapat memberi manfaat kepadanya. Dalam kitab Fatawa Syar'iyah karangan As-Syeikh Hasanain Makhluf, bekas Mufti Mesir, dinukilkan kata-kata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah: “Bahawasanya mayat itu mendapat manfaat daripada seluruh ibadat badan seperti solat, puasa dan bacaan sebagaimana dapat manfaat daripada ibadat harta seperti sedekah dan seumpamanya.” Oleh itu kita boleh menghadiri majlis tahlil dan ia tidak dikatakan sebagai bidaah.

Kedua: Menetapkan hari-hari tertentu untuk mengadakan tahlil seperti hari ketiga, ketujuh dan 100 adalah perbuatan bidaah yang tiada nas dalam al-Quran atau sunah, lebih-lebih lagi apabila ia diyakini mendapat ganjaran tertentu apabila dilakukan pada hari-hari tertentu.

HUKUM mengadakan majlis tahlil adalah harus, asalkan tidak mengambil harta si-mati tanpa hak. Keluarga si-mati pula tidak dibebankan dengan bayaran yang tinggi.

Sementara jiran tetangga boleh membantu keluarga si-mati dengan menyediakan makanan untuk tetamu yang majlis berkenaan.

Mengenai hadis 'terputus amalan si-mati kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan' adalah benar.

Bagaimanapun, ia tidak menafikan doa orang lain yang mendoakan kepada kesejahteraan roh si-mati, lebih-lebih apabila ia datang atas usaha anak atau keluarga si-mati.

Dalam al-Quran sendiri Allah menyarankan agar kita berdoa kepada orang yang sudah kembali lebih awal daripada kita seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang-orang Islam yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa-dosa saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dalam iman dan jangan Engkau jadikan kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan Rahmat-Mu.” (al-Hasyr:10).

-Dipetik daripada Bharian.com.my-

Monday, September 8, 2008

Hati-hati Dengan Pengaruh Wahabi & Salafi

Berita utama muka hadapan Mingguan Malaysia hari ini Ahad, 27/11/2005.

Fahaman Wahhabi menular -- Dikatakan semakin berkembang di kalangan cerdik pandai muda

Oleh NAZERI NONG SAMAH

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Fahaman Wahhabi yang mengetepikan amalan sunah umat Islam negara ini sejak turun-temurun, kini dikatakan semakin berkembang terutama di kalangan cerdik pandai muda.

Kumpulan ini menolak amalan membaca al-Quran untuk orang yang meninggal dunia, membaca Yasin, qunut, tahlil, talkin, berdoa, berzikir, ziarah kubur dan pelbagai lagi perkara harus dan sunat yang menjadi amalan Ahli Sunah Waljamaah
.

Mingguan Malaysia difahamkan, beberapa buah universiti menjadi pangkalan dan pusat bagi aliran yang disifatkan sebagai ultrakonservatif ini.
Difahamkan juga, aliran ini menjadi ikutan golongan muda yang mahu melakukan ibadah dengan mudah dan cepat, selain menganggap amalan yang sering dilakukan oleh umat Islam di negara ini sebagai bidaah dan khurafat.

Fellow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady yang banyak mengkaji mengenai fahaman ini bimbang ia mungkin menyebabkan berlaku pergeseran serius di kalangan ummah berhubung adat dan ibadat yang diamalkan di negara ini.

``Ahli Sunah Waljamaah mengikut Imam Al-Shafie yang kita amalkan sekarang jelas telah diterima dengan baik dalam kerajaan dan rakyat, tetapi sudah diresapi pula fahaman lain.

``Fahaman Wahhabi mengambil pendekatan keras, semata-mata memberi penekanan kepada Allah dengan menolak sunah Rasulullah, tawassul, syafaat dan lain-la
in,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu katanya, adalah lebih wajar fahaman ini ditolak kerana ia bertentangan dengan Sunah Waljamaah yang menjadi ikutan majoriti umat Islam negara ini.
Muhammad Uthman berkata, fahaman ini diasaskan oleh Muhammad Abdul Wahab yang berketurunan Arab, bermula di Hijaz pada abad ke-18 Masihi iaitu sekitar 1204 Hijrah.

``Fahaman Wahhabi itu sendiri ditentang oleh keluarga Muhammad Abdul Wahab, tetapi ia menjadi amat berpengaruh dengan pendekatan ekstremnya itu.

``Malah fahaman Wahhabi itu sendiri berkembang luas sehingga menjatuhkan kerajaan Uthmaniah serta melenyapkan khalifah Islam di Turki,''
katanya.

Menurutnya, dalam kitab Kashf Al-Shubuhat Fiqh Tauhid dan Risalatul Al-Tauhid, fahaman puak Wahhabi turut memuatkan huraian al-Quran yang pada asalnya ditujukan kepada orang kafir tetapi fahaman ekstrem itu ditujukan pula kepada orang Islam yang tidak sehaluan dengan mereka.

Sehubungan itu, Muhammad Uthman berkata, keupayaan pengaruh fahaman ekstrem Wahhabi sehingga berjaya menggulingkan kerajaan Uthmaniah itu wajar menjadi peringatan kepada kerajaan negara ini.

``Fahaman Wahhabi begitu mudah mempengaruhi kerana ia mengambil pendekatan bahawa Islam tiada hubungan dengan kelebihan yang ada pada sunah Rasulullah, hadis mahupun sesama manusia.

``Mengikut fahaman ini, apa-apa yang menjadi adat dan ibadat selain daripada fahamannya adalah bidaah semata-mata,'' ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Datuk Dr. Mohammad Yusof Hussain berkata, umat Islam di negara ini tidak boleh terikut-ikut dengan fahaman Wahhabi kerana ia tidak mengikut kehendak ahli sunah wal jamaah.

``Pada asalnya, motif fahaman Wahhabi itu bertujuan membanteras khurafat di Arab tetapi pendekatannya yang keras itu juga menumbangkan kuasa pemerintah zaman tersebut.

``Tetapi untuk motif apa pula Wahhabi berkembang di negara kita,'' katanya.
Prof. Datuk Mahmood Zuhdi Abd. Majid dari Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pula berkata, pertentangan ahli sunah wal jamaah dan fahaman Wahhabi perlu ditangani dengan bijaksana demi kebaikan agama.

``Kita tidak mahu pertembungan kedua-dua ikutan itu akan menjadikan kita dilaga-lagakan seperti puak sunni dan syiah di Iran dan Iraq sehingga mengakibatkan perpecahan Islam,'' katanya.
  • Di Malaysia ni, hanya Perlis sahaja yang diragui pegangannya kepada Mazhab Syafi`i. Mereka lebih condong kepada Kaum Muda atau Wahhabi walaupun mengaku Ahlus Sunnah wal Jama`ah. Kita di Sarawak jaga-jaga sebab ada juga ustaz-ustaz kita di sini yang tawahhab (terpengaruh dengan Wahhabi), tapi oleh kerana mereka belum berkuasa mereka tak berani le tunjuk belang, cuma selitkan sikit-sikit dalam khutbah dalam ceramah dan sebagainya. Ada juga yang dapat pengiktirafan dari Perlis. Mari kita kata "TAK NAK" kepada Wahhabi. Kita adalah Sunniyun Syafi`iyyun.

Perihal Tahlil & Kenduri Arwah.

Masalah kenduri arwah dan tahlil sering menjadi perbahasan sekarang terutamanya oleh masyarakat di Malaysia. Ramai dikalangan puak-puak wahabi @ salafi yang menentang habis-habisan berkaitan dengan 2 perkara ini.
Oleh itu, di sini disediakan suatu penjelasan tentang perkara tersebut yang telah disampaikan oleh Alfadhil Syeikh Muhammad Nuruddin Al-Banjari Al-Makki.
Semoga apa yang telah disampaikan dapat menjelaskan kita semua tentang masalah tersebut.