Setiap manusia tidak terlepas daripada dibebani masalah dan juga kekeliruan untuk membuat sesuatu keputusan. Maka dengan itu, Allah s.w.t telah mengurniakan kepada umat Muhammad s.a.w suatu cara yang terbaik yang telah diajarkan oleh Rasulullah s.a.w untuk menyelesaikan sesuatu masalah dan juga untuk membuat sesuatu keputusan yang terbaik.
Sebagai manusia, kadang kala kita tidak mampu untuk menyelesaikan sesuatu masalah dan juga membuat keputusan, kerana batas pemikiran yang dikurniakan Allah kepada kita amat terhad dan mungkin tidak terjangkau didalam pemikiran kita, apakah sesuatu keputusan yang kita buat itu betul atau tidak.
Oleh itu, sebagai seorang hambaNya, wajarlah bagi kita untuk memohon pertolongan dan petunjuk dari Allah s.w.t dalam apa jua masalah dan kekeliruan yang kita alami. Kerana sesungguhnya ilmu Allah itu terlalu luas dan Dia sahaja yang mampu menunjukkan kepada kita jalan yang terbaik untuk kita menyelesaikan sesuatu masalah dan juga membuat sesuatu keputusan.
عن جابِرٍ رضيَ اللَّه عنه قال : كانَ رسولُ اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم يُعَلِّمُنَا الاسْتِخَارَةَ في الأُمُور كُلِّهَا كالسُّورَةِ منَ القُرْآنِ ، يَقُولُ إِذا هَمَّ أَحَدُكُمْ بالأمر ، فَليَركعْ رَكعتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الفرِيضَةِ ثم ليقُلْ :
Daripada Jabir r.a berkata: Sesungguhnya Rasulullah s.a.w , telah mengajar kami tentang "Istikharah" (membuat pilihan dan mohon petunjuk) pada setiap perkara, seperti mana baginda mengajar kami surah daripada Al-Quran. Beliau berkata, jika seseorang daripada kamu berdukacita atau susah hati pada sesuatu perkara , maka dirikanlah dua rakaat selain daripada kewajipan (solat fardhu), kemudian bacalah:
اللَّهُم إِني أَسْتَخِيرُكَ بعِلْمِكَ ، وأستقدِرُكَ بقُدْرِتك ، وأَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ العَظِيم ، فإِنَّكَ تَقْدِرُولا أَقْدِرُ ، وتعْلَمُ ولا أَعْلَمُ ، وَأَنتَ علاَّمُ الغُيُوبِ . اللَّهُمَّ إِنْ كنْتَ تعْلَمُ أَنَّ هذا الأمرَ خَيْرٌ لي في دِيني وَمَعَاشي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي، عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِله ، فاقْدُرْهُ لي وَيَسِّرْهُ لي، ثمَّ بَارِكْ لي فِيهِ ، وَإِن كُنْتَ تعْلمُ أَنَّ هذَا الأَمْرَ شرٌّ لي في دِيني وَمَعاشي وَعَاقبةِ أَمَرِي، عَاجِل أَمري وآجِلهِ ، فاصْرِفهُ عَني ، وَاصْرفني عَنهُ، وَاقدُرْ لي الخَيْرَ حَيْثُ كانَ ، ثُمَّ رَضِّني به
Doa Istikharah:
"Ya Allah ! Aku pohon pilihan (minta petunjuk) daripada Engkau dengan pengetahuan Engkau dan aku pohon ketentuan Engkau dengan kekuasaan Engkau dan aku pohon akan Dikau dari limpah kurniaan Engkau yang besar, maka sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkau mengetahui segala perkara ghaib.
Ya Allah! Seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini ?. Berkebajikan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka takdirlah akan dia untukku dan permudahkannya bagiku kemudian berkatkan bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini ?. Mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan akibat urusanku cepat atau lambat, maka palingkanlah dia daripadaku dan palingkanlah aku daripadanya, kemudian tentukanlah untukku akan kebaikan pada setiap ketetapan, kemudian redhailah akan daku dengannya" (niatkan hajat atau urusan selepas selesai membaca doa ini).
No comments:
Post a Comment