Allah swt berfirman di dalam surah al-Ahzab ayat 56 yang bermaksud, "Sesungguhnya Allah dan para Malaikatnya berselawat (memberi rahmat) kepada Nabi Muhammad saw oleh kerana itu wahai orang-orang yang beriman ucapkanlah selawat (meminta rahmat) untuk Nabi saw dan ucapkanlah salam dengan penuh kehormatan terhadapnya".
Adapun antara ganjaran ataupun hikmah berselawat ini amat banyak sekali, berikut dicatatkan beberapa hikmah-hikmah berselawat ke atas Rasulullah s.a.w iaitu:
1. Satu kali berselawat Allah swt akan membalas dengan 10 kali selawat untuknya.
2. Satu kali berselawat Allah swt akan mengangkatnya baginya (orang yang berselawat) dengan 10 kali darjat.
3. Malaikat juga akan turut membaca selawat ke atas orang yang membaca selawat untuk Rasulullah saw.
4. Doa yang disertai dengan selawat akan diperkenankan oleh Allah swt, akan tetapi doa yang tidak disertai dengan selawat ianya akan tergantung di antara langit dan juga bumi.
5. Akan mendapat tempat yang dekat dengan Rasulullah saw di Hari Kiamat nanti (kepada mereka yang selalu berselawat kepada Nabi Muhammad saw).
6. Akan mendapat Syafa'at daripada Rasulullah saw di Hari Kiamat nanti.
7. Allah swt akan menggandakan limpah kurnia dan juga rahmat-Nya kepada mereka yang berselawat untuk Nabi Muhammad saw.
8. Selawat dapat membersihkan hati, jiwa dan roh yang kotor yang berselaput di dalam dada.
9. Selawat dapat membuktikan kecintaan dan juga rasa kasih sayang kita terhadap Rasulullah saw.
10. Selawat dapat mewariskan kecintaan Rasulullah saw terhadap umatnya.
11. Selawat dapat dijadikan sebagai penyelamat dan juga dapat memelihara daripada segala apa juga yang dapat mendukacitakan dari hal keduniaan mahupun akhirat.
12. Dengan membawa selawat akan dapat mengingatkan kembali apa-apa yang telah kita lupa.
13. Orang yang selalu berselawat akan mendapat nur (cahaya) yang bersinar di dalam hati dan ianya akan berlaku bilamana kita berselawat 100 kali dengan cara selawat yang bersungguh-sungguh dan juga ikhlas.
14. Mendapat ganjaran pahala seperti memerdekakan seorang hamba bilamana kita berselawat sebanyak 10 kali.
15. Allah swt akan meluaskan dan juga melapangkan rezekinya dan juga sumber-sumber rezeki yang lainnya yang tiada kita ketahui.
16. Allah swt akan memberatkan timbangan amalnya pada neraca timbangan di Hari Kiamat nanti.
17. Mendapat keberkatan dari Allah swt bagi dirinya dan juga untuk kaum kerabat dan juga keluargannya.
18. Keistimewaan berselawat dapat mendatangkan rasa kasih sayang dari hati-hati orang-orang mukmin lainnya terhadapnya.
19. Selawat akan dapat mendekatkan dirinya dengan 'Telaga Haudh' iaitu telaga Rasulullah saw serta akan dapat pula meminumnya di Hari Kiamat kelak.
20. Selawat dapat melepaskan diri seseoang itu daripada tergelincir semasa melalui titian sirat dan ia dengan selamat akan dapat menuju ke syurga.
Demikianlah dicatatkan beberapa hikmah berselawat kepada junjungan kita Nabi Muhammad saw dan juga antara ganjaran-ganjarannya.
Adalah amat digalakkan bagi kita semua umat Islam untuk sentiasa berselawat kepada Nabi saw kerana amat banyak sekali manfaat dan juga ganjaran yang akan dilipat gandakan.
No comments:
Post a Comment