Wednesday, October 29, 2008

Terapi solat & Keistimewaan solat

KAJIAN saintifik tiga pensyarah Universiti Malaya membuktikan solat yang diwajibkan kepada umat Islam setiap hari, bukan hanya amalan kerohanian tetapi terbukti mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental terutama meningkatkan tahap kesihatan manusia.

SOLAT sebagai rukun Islam yang wajib dilakukan setiap umat Islam sudah banyak dikaji dari sudut kerohanian.

Bagaimanapun, pernahkah kita berfikir mengenai pengertian setiap gerakan solat seperti qiyam, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud serta tahiyat awal dan tahiyat akhir.

Adakah gerakan itu hanya sekadar gerakan tubuh yang tidak mempunyai makna?

Kajian sains moden mendedahkan bahawa amalan yang dilakukan lima kali setiap hari bukan hanya suatu amalan kerohanian yang mendekatkan hamba kepada penciptanya. Kehebatan solat ternyata memanfaatkan tubuh manusia.

Hasil kajian saintifik membuktikan kewajipan terhadap setiap umat Islam mempunyai hikmah tersirat terhadap fizikal dan mental manusia.

Lebih membanggakan bukti itu diperoleh hasil kajian anak tempatan, termasuk seorang bukan Islam. Mereka adalah pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal di Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) yang diketuai Profesor Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok.

Penggerak kajian ini ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan melalui geran Jabatan Perdana Menteri (JPM), kajian itu bermatlamat menentukan nilai terapeutik solat terhadap mereka yang melakukan solat, termasuk dari segi sistem kardiovaskular, komposisi tubuh, isyarat otak dan aktiviti otot.

Dr Wan Abu Bakar ketika memperjelaskan kajian itu berkata, mereka adalah jurutera bioperubatan yang mengkaji tubuh manusia dari segi kejuruteraan.

Katanya, kajian itu cuba melihat apa yang sebenar berlaku kepada fizikal dan mental manusia ketika melakukan solat.

“Kajian dibahagikan kepada beberapa bahagian, iaitu saya mengkaji aktiviti otot, Siew Chok mengkaji isyarat otak, iaitu apa yang berlaku kepada gelombang otak ketika solat. Dr Fatimah mengkaji komposisi tubuh,” katanya.

Beliau berkata, hasil kajian mendapati bahawa ada banyak perkara positif apabila seseorang melakukan solat dan ini dimuatkan dalam buku `Solat: Kebaikan Dari Perspektif Sains’ terbitan Jabatan Kejuruteraan Biomedikal. Buku ini mempunyai dua versi, bahasa Melayu dan Inggeris.

Setakat ini, kajian itu adalah yang pertama dilakukan secara saintifik di negara ini. Bagaimanapun, sudah ada beberapa kajian yang sama, tetapi tidak menyeluruh dan lengkap seperti yang dilakukan UM.

Seorang doktor perubatan dari Indonesia, Prof Dr Moh Sholeh, melakukan kajian khusus terhadap solat tahajud.

Beliau mengambil sampel darah, hormon tekanan (stress) dan imuniti dalam badan. Selepas tiga bulan melakukan solat, sampel diambil lagi dan didapati imuniti meningkat dan hormon tekanan menurun. Rumusannya solat tahajud boleh merawat barah.

Kajian lain dilakukan oleh tiga doktor perubatan dari Universiti Hokkaido di Jepun, iaitu Mohammed Faruque Reza, Yuji Urakami dan Yukio Mano, yang mendapati bahawa posisi tubuh (posture) solat boleh merawat warga tua yang sakit tulang.

Dr Wan Abu Bakar berkata, kajian sepatutnya berakhir tahun ini, tetapi jabatan mempunyai beberapa cadangan baru bagi memperluaskan kajian itu.

Memperjelaskan kajian lanjutan itu, Dr Fatimah yang mengetuai kajian berkata antara bidang baru yang akan dikaji ialah mengenai perbezaan solat antara orang biasa dan ulama.

“Kajian itu akan mengkaji isyarat otak ulama dan orang biasa ketika bersolat. Adakah isyarat otak orang alim adalah lebih tenang berbanding orang biasa kerana kita menjangka mereka memahami bahasa al-Quran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya sukar untuk mendapat ulama secara sukarela menyertai ujian ini. Beliau memberi jaminan bahawa identiti mereka yang menyertai ujian dirahsiakan dan hanya dinyatakan sampel adalah dari kumpulan tertentu.

Berbanding kajian awal yang mengesahkan solat memberi banyak kebaikan kepada kesihatan manusia, katanya kajian lanjutan memperjelaskan proses solat merawat pelbagai penyakit.

Mengambil Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk sebagai contoh, katanya kajian awal yang dilakukan mengesahkan bahawa solat memberi kesan positif untuk merawat ED, tetapi mereka ingin mengkaji cara gerakan solat merawat penyakit itu.

Yoga pesong akidah

GEORGETOWN: Yoga, sejenis senaman harian yang kebanyakan pergerakannya berdasarkan unsur dalam agama Hindu, dipercayai boleh memesongkan akidah umat Islam jika mengamalkan senaman itu.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zakaria Stapa, menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman berkenaan supaya menghentikannya.

"Yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu, menggabungkan unsur keagamaan dan penyembuhan jiwa kerana percaya yoga boleh menyatukan mereka dengan tuhan," katanya selepas menyampaikan syarahan yang Ajaran Sesat di Malaysia di Universiti Sains Malaysia, semalam.

Yoga amalan kesihatan yang diperkenalkan sekitar 3,300 Sebelum Masihi, dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko diabetes, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.

Difahamkan, isu yoga sudah dibincangkan pada mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Zakaria berkata, umat Islam kini mengamalkan yoga bukan saja untuk amalan kesihatan tetapi antara gaya hidup kota yang ingin mencari keseimbangan selepas sehari di pejabat.

"Yoga adalah manifestasi gerakan, konsentrasi dan posisi tubuh yang dilakukan sambil membaca mantera dipercayai ada kekuatan penyembuhan yang berupaya mengatasi tekanan," katanya.

Beliau berkata, umat Islam yang tiada pengetahuan agama mengikut saja amalan berkenaan tanpa mengetahui boleh memesongkan akidah mereka.

Katanya, umat Islam patut menggunakan ajaran Islam seperti solat untuk mencari ketenangan jiwa yang dilakukan secara teratur lima kali sehari.

“Jika umat Islam mahu menyihatkan tubuh badan, solat adalah pilihan terbaik dengan posisi tubuh teratur untuk semua anggota badan sambil berzikir dengan ayat al-Quran.

“Mengapa kita perlu mencari alternatif lain untuk bersenam dan ketenangan? Jika silap cara, yoga boleh memesongkan akidah kerana pergerakannya mengikut gaya dan tradisi agama Hindu," katanya.

Majlis Fatwa putuskan pengkid haram

KOTA BHARU 23 Okt. – Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan hari ini mengharamkan perbuatan perempuan yang membuat penampilan seperti lelaki atau dikenali sebagai ‘pengkid’.

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, fatwa ini dikeluarkan setelah melihat gejala itu di kalangan remaja perempuan Islam semakin membimbangkan.

Katanya, bukan sahaja gerak laku, berpakaian, penampilan, percakapan dan rupa seolah-olah lelaki, malah mereka tidak berminat kepada lelaki tetapi berminat kepada kaum sejenis.

‘‘Maka kita berpendapat pekara ini perlu disekat dan dari segi hukumnya adalah haram.

‘‘Ia melanggar tabii serta fitrah dan dalam Islam jelas tidak boleh,” katanya kepada pemberita selepas muzakarah kali ke-83 di sini hari ini. Hadir sama, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Fatwa itu adalah di antara beberapa keputusan yang dicapai pada muzakarah jawatankuasa fatwa selama dua hari yang berakhir hari ini.

Banyak pihak termasuk Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) baru-baru ini menyatakan kebimbangan dengan gejala tersebut kerana ia turut menular di kalangan pelajar.