Thursday, April 10, 2008

Besalaman (Lelaki & Wanita) ?

Soal jawab ini dipetik daripada kitab yang bertajuk "Al-Kalamu Toyyib Fatawa Asriyyah" karangan Dr. Ali Jum'ah (Mufti Mesir).
Jilid 2 - m/s 17.

Soalan:
Apakah hukum bersalaman dengan perempuan ketika bekerja, saya dalam keadaan berwuduk dan ingin mendirikan solat. Adakah bersalaman dengan perempuan menyebabkan wuduk saya batal?

Jawapan:
Di sini ada 2 masalah.

Masalah Pertama: Bersalaman dengan perempuan adakah ianya membatalkan wuduk atau tidak?

Pendapat pertama, antaranya Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa ianya tidak membatalkan wuduk.

Pendapat kedua, antaranya Imam As-Syafie menyatakan bahawa ianya membatalkan wuduk dan wajib berwuduk apabila ingin melakukan ibadah seperti solat dan sebagainya.

Yang terbaik ialah keluar daripada khilaf (percanggahan), haruslah berwuduk apabila bersentuhan dengan perempuan.
Bagi mazhab Syafie hukumnya wajib.

Masalah Kedua: Adakah boleh bersalam dengan perempuan ajnabiah (bukan mahram) ketika bekerja?

Hukumnya tidak boleh bersalaman dengan perempuan ajnabiah, kerana mereka bukan mahram. Perempuan mahram ialah mereka yang tidak boleh dikahwini oleh seorang lelaki muslim secara mutlak, seperti:-
1) Ibu.
2) Adik beradik perempuan.
3) Anak perempuan.
4) Ibu saudara daripada sebelah bapa.
5) Ibu saudara daripada sebelah ibu.
6) Nenek.
7) Cucu-cucu perempuan.
8) Ibu kepada isteri.
9) Isteri kepada anak lelaki.
10) Anak saudara perempuan (daripada adik beradik lelaki)
11) Anak saudara perempuan (daripada adik beradik perempuan)
12) Ibu susuan dan mereka yang tersebut daripada susuan.
13) Anak perempuan daripada isteri.
-Mereka-mereka ini disebutkan didalam surah An-Nisa' ayat 23-

Tidak boleh bersalaman dengan perempuan ajnabiah ketika bekerja atau sebagainya, dimana sahaja dan pada waktu apa sekalipun. Perempuan ajnabiah ialah seperti kawan perempuan, jiran perempuan, sepupu perempuan:-
- anak perempuan daripada bapa saudara sebelah bapa.
- anak perempuan daripada ibu saudara sebelah bapa.
- anak perempuan daripada bapa saudara sebelah ibu.
- anak perempuan daripada ibu saudara sebelah ibu.
Dan selainnya perempuan-perempuan yang bukan mahram.

Barang siapa yang bersalaman dengan perempuan ajnabiah, maka dia telah melakukan seuatu yang diHARAMkan, dan telah menyalahi sunnah Nabi s.a.w. Kerana Nabi s.a.w tidak pernah sama sekali bersalaman dengan perempuan ajnabiah. Ketika mana baginda dibai'ah (perjanjian taat setia) oleh perempuan, baginda hanya menggunakan isyarat dengan tangannya sahaja.

Nabi s.a.w terlalu menganggap serius terhadap perkara ini dan memberi peringatan dengan sabdanya:

لأن يطعن في رأس أحدكم بمخيط من حديد خير له من أن يمس امرأة لا تحل له

Maksudnya:
"kerana sesungguhnya ditikam dikepala seseorang kamu dengan jarum daripada besi lebih baik untuknya daripada dia menyentuh perempuan yang tidak halal baginya"