Monday, December 1, 2008

Solat Juga Boleh Merawat Penyakit Kritikal

HASIL kajian Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh.

Berita Minggu mendapatkan pandangan setiap pengkaji mengenai hasil kajian masing-masing.

Profesor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas - Aktiviti Otot.

Beliau yang mengkaji aktiviti otot memberitahu manusia perlu sentiasa melakukan regangan dan senaman kerana otot menjadi lebih kuat apabila selalu digunakan.

Katanya, hasil kajian mendapati solat yang membabitkan gerakan tubuh seperti berdiri, tunduk dan bongkok menyamai senaman ringan.

“Kebanyakan otot serta sendi bergerak ketika solat. Umat Islam beruntung kerana solat yang wajib dilakukan setiap hari menyamai aktiviti senaman dan regangan yang memperkuatkan sistem otot dan fizikal tubuh,” katanya.

Malah, katanya solat sama seperti terapi fizikal yang jika dilakukan secara berterusan dan betul menghasilkan kesan positif terhadap tubuh.

Beliau berkata, kajian lebih teliti sedang dilakukan untuk mengenap pasti otot yang aktif ketika solat.

Prof Dr Wan Abu Bakar (kanan) bersama Dr Fatimah dan
Ng Siew Chok bersama buku mengenai rahsia solat dari segi sains.

Ng Siew Chok - Isyarat Otak

Beliau berkata, perubahan kimia berlaku apabila otak aktif. Proses kimia yang menyebabkan pergerakan ion atau atom membawa cas elektrik boleh diukur menggunakan elektrod yang diletakkan pada kulit kepala. Sejenis alat, iaitu EEG (Electroencephalography) digunakan untuk mengukur isyarat otak daripada aktiviti elektrik. “Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang,” katanya

Walaupun bukan Islam, Siew Chok kagum terhadap hasil kajian yang dilakukannya apabila mendapati keadaan dan pemikiran orang selepas bersolat tenang dan menyamai keadaan selepas bangun tidur.

“Ada fenomena menarik dalam solat, iaitu keadaan berdiri seketika sebelum sujud sebagai peringkat paling tenang ketika bersolat. Saya bukan Islam dan diberitahu bahawa keadaan itu adalah tamakninah,” katanya.

Ketika itu, katanya isyarat alfa meningkat secara mendadak yang menunjukkan seseorang itu berada dalam keadaan tenang.

Siew Chok berkata, solat juga meningkatkan penumpuan terhadap sesuatu perkara dan memperkuatkan kuasa otak.

Sehubungan itu, katanya solat membolehkan seseorang itu menyediakan otak untuk lebih bersedia terhadap sesuatu cabaran yang perlu dihadapinya dalam aktiviti harian.

Dr Fatimah Ibrahim - Komposisi Tubuh

Beliau berkata, komposisi tubuh mengandungi empat komponen utama, iaitu tisu aktif, tisu tulang, komponen air dan lemak.

Beliau berkata, ada beberapa kaedah untuk mengukur komposisi tubuh, tetapi kajian itu menggunakan Analisis Penyepadanan Bio yang menghasilkan keputusan tepat, pantas dan selamat, berbanding pengambilan darah.

“Teknik ini tidak digunakan secara meluas di hospital negara ini, tetapi di Amerika Syarikat, teknik ini digunakan untuk menilai status penyakit seperti Aids, diabetes, demam denggi dan pelbagai penyakit kritikal lain,” katanya.

Dalam kajian ini, katanya model untuk mendapatkan komposisi tubuh terbaik adalah dengan melakukan lima perkara, iaitu solat lima kali sehari, memahami maksud bacaan dalam solat, solat berjemaah, rukuk dengan betul (90 darjah) dan melentikkan jari kaki ketika duduk antara sujud dan tahyat akhir.

Dr Fatimah berkata, orang yang tidak melakukan lima perkara ini mempunyai komposisi tubuh yang kurang baik.

Katanya, kajian mendapati secara keseluruhan orang yang solat berjemaah mempunyai kesihatan lebih baik berbanding yang bersolat secara bersendirian.

“Kita mendapati apabila berjemaah, orang yang melakukan solat bersentuh bahu ke bahu. Tubuh manusia seperti bateri. Ketika bersolat, cas tubuh manusia mengalir seperti dalam litar dan akhirnya meneutralkan cas tubuh.

“Sebelum solat, ada orang yang penat dan ada yang tidak penat. Ketika solat, orang yang tidak penat dan mempunyai cas positif akan mengalirkan cas positif kepada orang yang letih dan mempunyai cas negatif,” katanya.

Katanya, ini yang menyebabkan orang yang bersolat jemaah mempunyai badan bertenaga dan lebih tenang.

Dr Fatimah berkata, solat tarawih dan berpuasa juga memberi kebaikan dan ini terbukti berdasarkan kajian yang dilakukan.

Sebelum Ramadan bermula, katanya komposisi badan diukur dan selepas 21 hari berpuasa, komposisi tubuh yang diukur semula mendapati keadaan tubuh sihat seperti kolesterol rendah akibat kadar pembakaran lemak yang meningkat serta paras glukos rendah.

Selain itu, katanya posisi tubuh (posture) dalam solat dapat mengubat sakit pinggang. Malah jika berjumpa doktor, pesakit disuruh melakukan senaman seperti berdiri dan membongkokkan tubuh yang menyamai gerakan solat.

Beliau berkata, keputusan positif itu adalah berdasarkan ukuran saintifik dengan meletakkan beberapa sensor (pengesan) di tulang belakang pesakit untuk melihat isyarat otot.

Katanya, hasil kajian mendapati pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90 darjah, sakit pinggangnya berkurangan.

“Ini membuktikan terapi solat boleh digunakan untuk merawat sakit pinggang. Kita akan menerbitkan buku kedua terapi solat yang bukan saja sesuai untuk wanita normal, tetapi untuk wanita mengandung. Bukan Islam juga boleh mengikuti terapi ini dengan melakukan senaman sama seperti gerakan solat,” katanya.

Jangan terkejut kerana solat boleh merawat Erektil Disfungsi (ED) atau lebih dikenali sebagai mati pucuk, masalah kesihatan yang lelaki amat takut.

Untuk lelaki normal, keupayaan seksual adalah tiga kali penegangan ketika tidur dan volum ketika ketegangan mesti lebih 200 peratus.

“Kajian dilakukan dengan mengukur zakar (pesakit diajar melakukan ukuran). Pada bulan pertama, tiada ketegangan langsung, tetapi selepas melakukan terapi selama dua bulan iaitu dengan melakukan solat tambahan, sudah ada ketegangan dan volum mencapai tahap normal,” katanya.

Beliau berkata, terapi adalah dengan cara melakukan solat sunat sebanyak tiga kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit

Selain itu, katanya antara hasil kajian yang menarik perhatian pakar sakit jantung ialah mengenai kadar denyutan jantung kerana selama ini, kajian saintifik lain menyatakan bahawa kadar denyutan jantung paling rendah adalah ketika berbaring.

“Kajian mendapati ketika solat, keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan paling rendah dan lebih baik berbanding ketika baring. Ini menunjukkan posisi tubuh ketika solat adalah bagus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya kajian akan dilakukan dengan lebih meluas untuk melihat sama ada posisi tubuh ketika solat boleh merawat sakit jantung.

Katanya, pakar jantung gembira dengan hasil kajian itu kerana boleh memperkenalkan terapi solat kepada pesakit jantung untuk melakukan senaman. Ketika ini, setiap pesakit jantung perlu melakukan senaman selama 30 minit setiap hari.

-Dipetik daripada bharian.com.my-

Tahlil Bukan Bidaah

MAJORITI ulama dunia menerima tahlil sebagai amalan yang membolehkan pahala ibadat ini disedekahkan kepada orang yang telah meninggal dunia.

Meskipun terdapat pandangan berbeza mendakwa tahlil sebagai bidaah (amalan ibadat sekarang yang tidak ada secara khusus dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW), ulama terkemuka menerima konsep tahlil.

Pensyarah Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Dr Luqman Abdullah, berkata tahlil atau sebarang perkataan yang merujuk kepada kalimah 'tiada Tuhan melainkan Allah' dilakukan di kebanyakan dunia Islam.

Katanya, tahlil berjemaah sudah sebati dalam masyarakat Islam negara ini, terutama apabila berlaku kematian, malah kini menjadi program rasmi peringkat negara untuk menyambut perayaan tertentu.

“Sebenarnya ulama dunia seperti Mufti Besar Mesir, Sheikh Ali Gomaa, mengakui bahawa memang ada konsep tahlil dalam Islam. Bukan beliau saja, kebanyakan ulama lain mempunyai pandangan sama,” katanya.

Beliau berkata, tahlil juga adalah aktiviti sosial bermanfaat kerana umat Islam berkumpul dan berzikir untuk mengingati Allah.

“Saya tidak nampak ada masalah dari segi hukum syarak. Mungkin perbezaan dari segi tempat seperti bertahlil di Malaysia dan Indonesia tidak sama dari segi cara. Perbezaan ini lebih kepada faktor budaya, tetapi prinsip amalan tetap sama,” katanya.

Dr Luqman berkata, prinsip tahlil ialah pahala ibadat ini disedekahkan kepada si mati dan ini juga adalah pandangan majoriti ulama.

Katanya, ulama terkenal Arab Saudi, Sheikh Sayyid Muhammad Alawi, menyatakan bahawa orang yang meninggal dunia boleh mendapat manfaat daripada amalan soleh orang yang masih hidup, tetapi bentuk manfaat itu tidak diketahui.

“Terserah kepada Allah. Mungkin manfaat dalam bentuk pahala dan atau dosa diringankan. Prinsipnya adalah sampai kepada si mati,” katanya.

Beliau tidak menafikan ada yang menganggap tahlil sebagai bidaah, tetapi jika dilihat dari sudut ini, ini bermakna banyak perkara yang dilakukan umat Islam sekarang adalah bidaah.

“Kita tidak boleh menghukum setiap perkara yang Nabi Muhammad SAW tidak buat sebagai bidaah dan sesat,” katanya.

Mengenai amalan mengadakan majlis tahlil pada hari Khamis malam Jumaat, katanya selain berasaskan kelebihan malam Jumaat, ia mempunyai kaitan dengan pada zaman dulu, Jumaat adalah hari cuti menyebabkan masyarakat memilih hari itu.

Sepanjang Ramadan pula, katanya majlis tahlil semakin kerap diadakan kerana kelebihan beribadat sepanjang bulan ini mendapat pahala berlipat kali ganda.

Tahlil arwah:

Pertama: Amalan tahlil merupakan amalan yang baik dan berpahala kerana ia dipenuhi dengan zikir dan bacaan ayat-ayat al-Quran. Setiap huruf dan ayat al-Quran yang dibaca akan diberikan pahala oleh Allah sebagaimana sabda Baginda bermaksud: Barang siapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran maka dia akan mendapat satu kebaikan dan satu kebaikan digandakan sepuluh, aku tidak katakan bahawa ‘alif lam mim’ satu huruf tetapi alif satu huruf, lam satu huruf dan mim satu huruf. (Riwayat Tirmizi)

Selain itu, Rasulullah bersabda bermaksud: Barang siapa yang mendengar satu ayat daripada Kitab Allah maka dituliskan baginya satu kebajikan yang berlipat ganda, dan barang siapa yang membacanya adalah baginya cahaya pada hari kiamat. (Riwayat Ahmad)

Jadi pahala daripada amalan dan doa dalam tahlil akan sampai kepada si mati dan dapat memberi manfaat kepadanya. Dalam kitab Fatawa Syar'iyah karangan As-Syeikh Hasanain Makhluf, bekas Mufti Mesir, dinukilkan kata-kata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah: “Bahawasanya mayat itu mendapat manfaat daripada seluruh ibadat badan seperti solat, puasa dan bacaan sebagaimana dapat manfaat daripada ibadat harta seperti sedekah dan seumpamanya.” Oleh itu kita boleh menghadiri majlis tahlil dan ia tidak dikatakan sebagai bidaah.

Kedua: Menetapkan hari-hari tertentu untuk mengadakan tahlil seperti hari ketiga, ketujuh dan 100 adalah perbuatan bidaah yang tiada nas dalam al-Quran atau sunah, lebih-lebih lagi apabila ia diyakini mendapat ganjaran tertentu apabila dilakukan pada hari-hari tertentu.

HUKUM mengadakan majlis tahlil adalah harus, asalkan tidak mengambil harta si-mati tanpa hak. Keluarga si-mati pula tidak dibebankan dengan bayaran yang tinggi.

Sementara jiran tetangga boleh membantu keluarga si-mati dengan menyediakan makanan untuk tetamu yang majlis berkenaan.

Mengenai hadis 'terputus amalan si-mati kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakan' adalah benar.

Bagaimanapun, ia tidak menafikan doa orang lain yang mendoakan kepada kesejahteraan roh si-mati, lebih-lebih apabila ia datang atas usaha anak atau keluarga si-mati.

Dalam al-Quran sendiri Allah menyarankan agar kita berdoa kepada orang yang sudah kembali lebih awal daripada kita seperti firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang-orang Islam yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa-dosa saudara-saudara kami yang telah mendahului kami dalam iman dan jangan Engkau jadikan kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas Kasihan dan Rahmat-Mu.” (al-Hasyr:10).

-Dipetik daripada Bharian.com.my-